Wednesday, 22 May 2013

Tradisi Kian Dilupakan : Permainan Tradisional


            Sekiranya kita imbas kembali zaman kanak-kanak suatu ketika dahulu, sudah pasti bibir akan mengorak tersenyum. Terlalu banyak kenangan indah yang dicoretkan dan masih segar di ingatan kita bukan? Tanya sahaja kepada sesiapa sahaja pasti semua orang ingin diputarkan kembali ke zaman tersebut jika ianya boleh dilakukan. Tapi sayang, memori dan pengalaman itu hanya datang sekali sahaja seumur hidup. Aku terpanggil untuk mencoretkan sedikit pengalaman pahit manis aku ketika masih di zaman kanak-kanak. Zaman yang bagi aku tiada langsung masalah. Zaman yang penuh dengan kasih sayang dengan keluarga mahupun sahabat. Bukan aku hendak menafikan zaman sekarang tiada langsung kemanisan tetapi bagi aku zaman kanak-kanak itu terlalu bernilai dan tiada galang gantinya. Suatu perkara yang terkesan sekali setiap kali aku mengimbas kembali ke zaman kanak-kanak ialah permainan tradisional yang sering menjadi keutamaan aku suatu ketika dahulu. Kadangkala hati aku terguris tatkala melihat kanak-kanak zaman sekarang terutamanya kanak-kanak yang berada di peringkat sekolah rendah yang langsung tidak kenal lagi dengan apa itu ‘permainan tradisional’ .

permainan congkak

            Kepantasan era globalisasi yang menjadikan kanak-kanak zaman sekarang semakin lupa akan permainan tradisional sedangkan permainan tradisional ini sesuatu permainan yang sangat menyeronokkan malah dapat mengeratkan lagi hubungan sesama saudara dan juga sahabat. Bagi aku yang dari kecil dibesarkan di kampung, permainan tradisional telah menjadi suatu perkara yang sebati dalam diri aku. Setiap hari itulah agenda wajib yang aku lakukan bersama saudara dan juga sahabat aku. Kami sanggup mengayuh basikal sekeliling kampung hanya untuk bermain. Keadaan ini berbeza sekali dengan kanak-kanak zaman sekarang. Kanak –kanak zaman sekarang lebih suka menghabiskan masa dengan melayari internet , bermain permainan di lensa kaca sahaja dan malas  untuk bergaul dengan orang lain. Perkara ini seolah-olah menjadi ‘penyakit’ kepada kanak-kanak zaman sekarang. Mereka bagaikan ‘ cacing kepanasan’ sekiranya tidak dapat melayari internet . mereka terlalu asyik dan leka dengan dunia mereka sehingga lupa masyarakat sekeliling. Yang paling menyedihkan, hubungan keakraban sesama saudara dan juga sahabat semakin renggang. Ini suatu yang amat membimbangkan kerana sebagai masyarakat melayu khususnya budaya menghormati sanak saudara itu sangat dititikberatkan.

permainan tuju tin

permainan teng teng
   
         Perubahan kanak-kanak ini adakalanya akan mendatangkan pulangan yang positif kerana dengan didedahkan kepada dunia siber, pemikiran kanak-kanak akan lebih terbuka dan berpandangan luas. Kita sebagai ‘orang lama’ tidak boleh menyekat minat mereka ini kerana kita harus terima perubahan dunia sekarang. Teknologi menguasai manusia. Tetapi, walaubagaimanapun kita harus memantau perkembangan mereka. Kita harus menerapkan juga tradisi dan budaya lama di dalam diri mereka supaya tradisi yang diwarisi oleh nenek moyang kita ini tidak aku pupus dek zaman.  Pelbagai kaedah dapat kita lakukan untuk meneruskan tradisi permainan tradisional ini kepada kanak-kanak. Antaranya, adakan pertandingan permainan tradisional di sekolah seperti bermain gasing, galah panjang, teng-teng dan sebagainya. Dengan adanya permainan seperti ini akan menimbulkan minat kanak-kanak terhadap permainan tradisional. Pihak sekolah tidak seharusnya hanya fokuskan pertandingan berlandaskan akademik sahaja tetapi haruslah menganjurkan sesuatu yang dapat membuka minda pelajar untuk belajar dalam keadaan yang santai. Kita tidak boleh menafikan permainan tradisional ini tidak mendatangkan apa-apa kebaikan kepada kanak-kanak kerana sekiranya kita lihat kepada permainan congkak. Permainan congkak ini melatih kanak-kanak untuk berfikir dengan pantas dan juga mengajar kanak-kanak mengira dengan cekap. Warisan kita dahulu menciptakan sesuatu bukan sekadar sia-sia atau permainan ‘kosong’ tetapi ianya terselit pengajaran dan pengalaman yang bermakna.
            Kesimpulannya, rugi sekiranya kita sebagai masyarakat Melayu membiarkan permainan tradisional ini terus dipinggirkan. Kita harus mempertahankan harta warisan kita ini. Andaikata, pada tahun ini 2013, permainan tradisional ini sudah semakin dilupakan oleh golongan kanak-kanak apatah lagi pada 10 tahun akan datang. Kita harus menarik minat kanak-kanak. Malahan, aku percaya kanak-kanak kini pasti akan seronok sekiranya mereka bermain permainan tradisional suatu ketika dahulu tetapi malangnya pendedahan kepada mereka semakin berkurangan. Kita sering mendorong mereka untuk maju ke hadapan dan bergerak seiring dengan teknologi tetapi kita lupa asal usul budaya masyarakat kita yang semakin pupus. Jangan biarkan ‘ yang dikejar tidak dapat, yang dikendong berciciran. Sayangilah budaya dan amalan kita sebagai masyarakat Melayu yang pernah dititipkan buat kita suatu ketika dahulu kerana ianya sesuatu yang amat bernilai.