Sekiranya kita imbas kembali zaman
kanak-kanak suatu ketika dahulu, sudah pasti bibir akan mengorak tersenyum. Terlalu
banyak kenangan indah yang dicoretkan dan masih segar di ingatan kita bukan? Tanya
sahaja kepada sesiapa sahaja pasti semua orang ingin diputarkan kembali ke
zaman tersebut jika ianya boleh dilakukan. Tapi sayang, memori dan pengalaman
itu hanya datang sekali sahaja seumur hidup. Aku terpanggil untuk mencoretkan
sedikit pengalaman pahit manis aku ketika masih di zaman kanak-kanak. Zaman yang
bagi aku tiada langsung masalah. Zaman yang penuh dengan kasih sayang dengan
keluarga mahupun sahabat. Bukan aku hendak menafikan zaman sekarang tiada
langsung kemanisan tetapi bagi aku zaman kanak-kanak itu terlalu bernilai dan
tiada galang gantinya. Suatu perkara yang terkesan sekali setiap kali aku
mengimbas kembali ke zaman kanak-kanak ialah permainan tradisional yang sering
menjadi keutamaan aku suatu ketika dahulu. Kadangkala hati aku terguris tatkala
melihat kanak-kanak zaman sekarang terutamanya kanak-kanak yang berada di
peringkat sekolah rendah yang langsung tidak kenal lagi dengan apa itu ‘permainan
tradisional’ .
permainan congkak |
Kepantasan era globalisasi yang
menjadikan kanak-kanak zaman sekarang semakin lupa akan permainan tradisional
sedangkan permainan tradisional ini sesuatu permainan yang sangat menyeronokkan
malah dapat mengeratkan lagi hubungan sesama saudara dan juga sahabat. Bagi aku
yang dari kecil dibesarkan di kampung, permainan tradisional telah menjadi
suatu perkara yang sebati dalam diri aku. Setiap hari itulah agenda wajib yang
aku lakukan bersama saudara dan juga sahabat aku. Kami sanggup mengayuh basikal
sekeliling kampung hanya untuk bermain. Keadaan ini berbeza sekali dengan
kanak-kanak zaman sekarang. Kanak –kanak zaman sekarang lebih suka menghabiskan
masa dengan melayari internet , bermain permainan di lensa kaca sahaja dan
malas untuk bergaul dengan orang lain. Perkara
ini seolah-olah menjadi ‘penyakit’ kepada kanak-kanak zaman sekarang. Mereka bagaikan
‘ cacing kepanasan’ sekiranya tidak dapat melayari internet . mereka terlalu
asyik dan leka dengan dunia mereka sehingga lupa masyarakat sekeliling. Yang paling
menyedihkan, hubungan keakraban sesama saudara dan juga sahabat semakin
renggang. Ini suatu yang amat membimbangkan kerana sebagai masyarakat melayu
khususnya budaya menghormati sanak saudara itu sangat dititikberatkan.
permainan tuju tin |
permainan teng teng |
Perubahan kanak-kanak ini adakalanya
akan mendatangkan pulangan yang positif kerana dengan didedahkan kepada dunia
siber, pemikiran kanak-kanak akan lebih terbuka dan berpandangan luas. Kita sebagai
‘orang lama’ tidak boleh menyekat minat mereka ini kerana kita harus terima
perubahan dunia sekarang. Teknologi menguasai manusia. Tetapi,
walaubagaimanapun kita harus memantau perkembangan mereka. Kita harus
menerapkan juga tradisi dan budaya lama di dalam diri mereka supaya tradisi
yang diwarisi oleh nenek moyang kita ini tidak aku pupus dek zaman. Pelbagai kaedah dapat kita lakukan untuk
meneruskan tradisi permainan tradisional ini kepada kanak-kanak. Antaranya,
adakan pertandingan permainan tradisional di sekolah seperti bermain gasing,
galah panjang, teng-teng dan sebagainya. Dengan adanya permainan seperti ini
akan menimbulkan minat kanak-kanak terhadap permainan tradisional. Pihak sekolah
tidak seharusnya hanya fokuskan pertandingan berlandaskan akademik sahaja
tetapi haruslah menganjurkan sesuatu yang dapat membuka minda pelajar untuk
belajar dalam keadaan yang santai. Kita tidak boleh menafikan permainan
tradisional ini tidak mendatangkan apa-apa kebaikan kepada kanak-kanak kerana
sekiranya kita lihat kepada permainan congkak. Permainan congkak ini melatih
kanak-kanak untuk berfikir dengan pantas dan juga mengajar kanak-kanak mengira
dengan cekap. Warisan kita dahulu menciptakan sesuatu bukan sekadar sia-sia
atau permainan ‘kosong’ tetapi ianya terselit pengajaran dan pengalaman yang
bermakna.
Kesimpulannya, rugi sekiranya kita
sebagai masyarakat Melayu membiarkan permainan tradisional ini terus
dipinggirkan. Kita harus mempertahankan harta warisan kita ini. Andaikata, pada
tahun ini 2013, permainan tradisional ini sudah semakin dilupakan oleh golongan
kanak-kanak apatah lagi pada 10 tahun akan datang. Kita harus menarik minat
kanak-kanak. Malahan, aku percaya kanak-kanak kini pasti akan seronok sekiranya
mereka bermain permainan tradisional suatu ketika dahulu tetapi malangnya
pendedahan kepada mereka semakin berkurangan. Kita sering mendorong mereka
untuk maju ke hadapan dan bergerak seiring dengan teknologi tetapi kita lupa
asal usul budaya masyarakat kita yang semakin pupus. Jangan biarkan ‘ yang
dikejar tidak dapat, yang dikendong berciciran. Sayangilah budaya dan amalan kita
sebagai masyarakat Melayu yang pernah dititipkan buat kita suatu ketika dahulu
kerana ianya sesuatu yang amat bernilai.
No comments:
Post a Comment