Wednesday 20 March 2013

Perjalanan aku bergelar Pelajar UUM


  ‘Siti Nur Izzati bt Sobri’ itulah nama diberi buatku oleh ibu saudaraku. ‘Izzati’ yang bermaksud kejayaan dan kesejahteraan.Mudah-mudahan ianya menjadi nyata.Aku merupakan anak kedua daripada 3 beradik. Aku mempunyai seorang kakak dan seorang adik perempuan. Kehadiran 3 orang puteri ini melengkapkan keluarga Sobri Bin Ahmad dan Ruhana bt Man.Perjalanan hidupku semasa zaman kanak-kanak tidak akan aku lupakan sampai bila-bila.Terlalu indah dan penuh sarat dengan kenangan manis.Impian demi impian aku tanamkan dari kecil. 


Setiap apa yang aku inginkan aku akan catatkan di dalam diariku. Sejak bersekolah rendah lagi aku mempunyai diari kerana aku suka menulis apa yang aku rasa.Diari juga menjadi ‘semangat’ aku untuk aku terus mengubah kehidupan aku ke arah yang lebih baik. Adanya diari membuatkan kita dapat melihat jatuh bangun kehidupan kita dan itu menjadi ‘kekuatan buat aku’ . Semasa aku berumur 12 tahun , sebelum menduduki peperiksaan UPSR , aku sudah mempunyai impian sendiri iaitu ingin memasuki Sekolah Menengah Kebangsaan Jitra apabila tamat UPSR nanti. Sebab utama aku tertarik dengan sekolah itu kerana landskapnya yang cantik dan berada di tengah pekan Jitra.

     Emak sentiasa berpesan kepada aku. ‘ kalau nak masuk sekolah itu, belajar rajin-rajin’ . aku memang tekad untuk belajar bersungguh-sungguh. SMKJ itu impian aku. Alhamdulillah, berkat doa mak ayah aku mendapat keputusan yang agak baik iaitu 4A1B. Dan apa yang paling mengembirakan aku, impian aku selama ini akhirnya tercapai. Aku berjaya ditempatkan di Sekolah Menengah Kebangsaan Jitra. Pada tahun 2003 bermula la perjalanan aku di sekolah yang serba indah itu. Aku tinggal di asrama kerana jarak dengan rumah agak jauh.Selama 5 tahun, aku tinggal di asrama berbagai-bagai rentak kehidupan aku belajar. Pelbagai benda berlaku yang mematangkan kehidupan aku terutamanya erti persahabatan dan juga berdikari dalam menempuhi kehidupan ini.

Impian pertamaku tercapai.

     Tamat sahaja SPM , aku dalam dilema sama ada hendak meneruskan ke peringkat diploma atau menyambung pelajaran di tingkatan 6. Selepas berbincang dengan keluarga, akhirnya aku mengambil keputusan untuk menyambung pelajaran di tingkatan 6 di sekolah yang sama. Cuma aku tidak lagi tinggal di asrama. Aku berulang-alik dari rumah ke sekolah. Tamat sahaja STPM, aku berjaya mendapat tawaran di Universiti Utara Malaysia dengan jurusan yang aku minati iaitu Pengurusan Perniagaan.Alhamdulillah semuanya dipermudahkan Allah.Ini juga berkat siang dan malam daripada kedua ibu bapaku.

    Tetapi, ada juga yang tidak menyenangi kejayaanku ini.Seminggu sebelum aku mendaftar masuk ke UUM , nenekku ada membuat kenduri kesyukuran buatku.Pada hari kenduri tersebut, aku ada berbual dengan seorang sanak saudaraku.Apabila dia tahu aku mendapat tawaran di UUM dengan jurusan perniagaan dia terus menghentam aku. Katanya jurusan ini tiada masa depan dan susah untuk mencari pekerjaan kelak.Dia lebih galakkan aku untuk menyambung pelajaran di dalam pendidikan.Telah aku katakan pada dia aku tidak berminat untuk menjadi seorang pendidik dan aku yakin aku tidak boleh menjadi pendidik yang terbaik.Tetapi, alasan aku langsung tidak diendahkannya. Dia berkata ini bukan soal minat atau tidak tetapi soal masa depan.Aku hanya terdiam.Bayangkan hari tersebut merupakan hari kegembiraan buatku tetapi dicemari dengan kejadian tersebut. Emak tidak putus memberi semangat kepadaku. Kata emak ‘ Teruskanlah cita-cita adik. Ingat rezeki Allah ini luas’ . Dengan kata-kata emak itu terus membuatkanku bersemangat untuk meneruskan permulaan perjuanganku ini.

pintu gerbang UUM menantiku.
Tanggal 4 Julai 2010 merupakan tarikh keramat buatku.Aku mendaftar sebagai seorang pelajar UUM. Tiba sahaja di pintu gerbang UUM yang tersergam indah itu menimbulkan pelbagai perasaan padaku.Walaupun sebelum itu aku kerap menjejak kaki ke UUM atas program sekolah tetapi perasaan ketika itu sangat berlainan.Sedih,gembira, sebak, bangga semuanya bercampur baur.Apa yang aku boleh katakan ‘ Alhamdulillah impian aku sudah tercapai’ .Aku tiba agak awal pada hari tersebut kerana ayah takut bersesak dengan orang ramai nanti.

Dewan Penginapan Pelajar Sime Darby. tempat aku mendaftar dan diami hingga kini.

     Pada hari pertama pendaftaran aku telah belajar sesuatu iaitu bersangka baik pada orang lain.Kejadiannya berlaku ketika aku beratur untuk pendaftaran, ada seorang pelajar di depan aku.Dia berkata kepada aku ‘risau fikir siapa roomate nanti, jangan dapat orang kedah sudah la nanti mesti selalu balik’ . Aku pula berkata kepada dia ‘saya pun risau juga, harap-harap tidak dapat orang kelantan’ . Ketika itu, pada pemikiran aku orang berasal dari kelantan susah untuk bergaul dengan orang bukan dari kelantan,mereka lebih suka berkawan dengan rakan yang berasal daripada kelantan juga. Ceteknya pemikiran aku ketika itu.

       Perancangan Allah itu terbaik buat umat-Nya. Sebaik sahaja aku melangkah masuk ke dalam bilikku, aku terkejut kerana teman sebilikku sememangnya berasal daripada kelantan.Aku mula sedih tapi mak ayah tetap bagi semangat padaku. Secara kebetulannya pula, pelajar yang berbual dengan aku tadi turut mendapat teman sebilik berasal daripada Kedah.Tetapi, pandangan kami meleset sama sekali. Alhamdulillah, aku dan teman sebilikku mempunyai hubungan yang baik. Malah, dari semester pertama hingga kini semester akhir kami masih tinggal sebilik. Selain itu, disini aku turut mempunyai kawan rapat yang berasal daripada Kelantan. Kejadian ini benar-benar mengajar aku supaya tidak bersangka buruk pada orang lain.Tidak semua apa yang kita sangkakan itu betul dan kita harus luaskan pemikiran. Bak kata pepatah ‘Jangan kerana nila setitik, habis rosak susu sebelanga’ .

Akhirnya minat dan cita-citaku tercapai.

      Urusan pendaftaran aku pada hari tersebut semuanya berjalan dengan lancar.Apa yang aku masih ingat hingga kini ialah raut muka mak dan ayah pada hari tersebut. Semuanya sangat gembira dan teruja akhirnya aku dapat memasuki universiti.Buat pertama kali juga aku melihat ayah menitiskan air mata ketika hendak pulang meninggalkan aku.segala pesanan dititipkan buat aku sebelum mereka bertolak balik.Pada saat itu, aku sedar terlalu besar tanggungjawab yang aku tanggung sekarang.Terlalu besar harapan mak ayah untuk aku. InsyaAllah mudah-mudahan aku akan dapat membanggakan kedua buah hatiku itu.

semester pertama di UUM. Syukur Ya Allah .

     Kini, pejam celik pejam celik hampir tiga tahun aku di bumi Sintok ini.InsyaAllah jika tiada aral melintang Jun nanti aku akan tamat pengajianku di sini.UUM mengajar aku banyak erti kehidupan, jatuh bangun demi kejayaan. Bagi aku, apapun tanggapan orang terhadap UUM, aku tetap berbangga menjadi salah seorang pelajar di sini.Sekarang, di semester akhir rutinku agak sibuk tetapi akan aku hargai setiap momen-momen terakhir aku di sini. Yang paling penting saat bersama kawan-kawan seperjuangan aku di sini.Aku pasti aku akan merindui zaman belajar aku di sini dan merindui suasana ‘sibuk’ bergelar pelajar.Ini hadiah yang terbesar aku dapat berikan buat mak dan ayah atas segala pengorbanan mereka selama ini.InsyaAllah sekiranya diberikan peluang aku akan menyambung pelajaran lagi selepas ini. Jadi impian aku seterusnya ialah untuk menyambung pelajar untuk peringkat sarjana pula. Doakan aku yer.

UUM yang tersangat indah !

Tuesday 19 March 2013

Budaya : Perkahwinan Masyarakat Baba dan Nyonya




      
Pakaian pengantin bagi Baba dan Nyonya

          Masyarakat Baba Nyonya atau dikenali juga sebagai masyarakat cina peranakan telah wujud di Melaka sejad abad kelima belas lagi. Golongan ini wujud hasil daripada perkahwinan orang-orang dari negeri China yang datang untuk berdagang dengan orang Melayu tempatan. Kebanyakan keturunan Baba Nyonya dibesarkan mengikut cara hidup dan upacara-upacara agama orang Cina yang diubah oleh unsur-unsur kemelayuan serta unsur-unsur tempatan yang lain. Walaubagaimanapun, arus moden pada masa kini telah meninggalkan sedikit demi sedikit budaya tradisional masyarakat ini tetapi terdapat juga budaya yang masih diamalkan. Adat perkahwinan Baba dan Nyonya merupakan adat perkahwinan yang paling unik di Malaysia kerana terdapat unsur-unsur kebudayaan Cina dan Melayu mempengaruhi adat perkahwinan ini.

       Pada masa dahulu, perkahwinan merupakan suatu perkara yang amat penting bagi masyarakat Baba dan Nyonya. Seseorang anak perempuan yang berumur lapan tahun biasanya telah mahir memasak , membuat sulaman , pertukangan tangan dan menjahit. Apabila sudah mencapai tahap yang memuaskan, ibu bapanya akan menyebarkan berita bahawa mereka sedang mencari bakal menantu.Kebiasaannya, ‘orang tengah’ akan ditugaskan untuk mencari sebuah keluarga lain yang juga sedang mencari pasangan hidup untuk anak lelaki mereka. Pada peringkat pertama, adat merisik akan dilakukan. Wakil pihak lelaki akan datang ke rumah pihak perempuan untuk mengetahui sama ada gadis yang hendak dipinang itu mempunyai budi pekerti yang baik, bersopan-santun dan pandai menguruskan rumahtangga. Jika keluarga pihak lelaki berkenan dengan calon tersebut, satu rombongan meminang akan dihantar. Peminangan ini diketuai oleh ‘Mueynang’.

        Dalam proses peminangan ini, kedua belah pihak akan berunding sesama mereka. Mereka akan berbincang mengenai identiti kedua-dua pengantin tersebut. Kebiasaannya, pertolongan seorang tukang tilik diperlukan. Butir-butir penting seperti tarikh lahir, masa lahir, dan tahun mengikut kalendar cina bagi kedua pengantin diambil kira. Misalnya, sekiranya pengantin lelaki dilahirkan pada Tahun Anjing manakala pengantin perempuan pula dalam Tahun Kambing, maka kedua pihak akan berpendapat bahawa pasangan tidak secocok. Walaubagaimanapun, kepercayaan ini tidak lagi diamalkan. Pada masa kini, asalkan bakal menantu adalah pilihan anak mereka maka perkahwinan tersebut akan terus dipersetujui.

           Apabila peminangan diterima, pihak perempuan akan meminta tempoh sebulan untuk menguji sama ada perkahwinan ini akan berkekalan atau tidak. Sepanjang tempoh ini, pinggan mangkuk,periuk belanga serta perkakas-perkakas kaca tidak boleh pecah atau jatuh. Jika ini berlaku, maka ditakrifkan perkahwinan tersebut tidak akan berkekalan.Sekiranya pada peringkat tersebut tiada apa-apa yang berlaku peringkat seterusnya akan diteruskan iaitu majlis naik belanja atau ‘hari tukar cincin’. Pada majilis ini pihak lelaki akan menyediakan separuh daripada jumlah wang hantaran manakala separuh lagi akan diserahkan pada hari perkahwinan. Semasa majlis naik belanja ini, pihak lelaki akan menghantar dua pasang lilin, empat botol arak, daging babi panggang beserta buah-buahan seperti limau dan epal. ‘Mueynang’ akan ditugaskan untuk menghantar barangan ini ke rumah pihak perempuan. Pihak perempuan akan mengambil separuh sahaja buah-buahan yang dihantar dan sepasang lilin. Sebagai balasan, pihak perempuan akan memberi dua botol air sirap dan gula-gula kepada pihak lelaki. Ini sebagai tanda mereka amat gembira dan sukacita atas pemberian tersebut. Seterusnya, pertukaran cincin pun dilakukan.

            Langkah seterusnya, wakil pihak pengantin lelaki akan menghantar sekeping kertas merah bertulisan Cina membawa maksud di mana, waktu dan tempat majlis perkahwinan ini hendak dilangsungkan yang disertakan dengan sepasang lilin. Pihak pengantin lelaki diwakili oleh lilin bergambar naga dan lilin bergambar burung merak mewakili pihak perempuan. Sebelum majlis perkahwinan diadakan, kedua-dua pengantin mesti menjalankan upacara ‘cohtau’ di rumah masing-masing. Pengantin lelaki akan duduk di atas gantang beras (dibalut kertas merah) yang diletakkan di atas nyiru. Rambutnya disisir oleh seorang budak lelaki. Sementera itu, rambut pengantin perempuan disisir oleh seorang wanita biasanya sanak saudaranya sendiri. 


video perkahwinan Baba dan Nyonya di Melaka             

        Kedua-dua pengantin dikehendaki berpakaian serba putih. Mereka akan diberitahu bahawa mereka akan memasuki alam perkahwinan dan haruslah menjalankan tanggungjawab masing-masing sebaik mungkin.
Persediaan untuk majlis perkahwinan dijalankan terutamanya di rumah pihak pengantin lelaki. Rumah dihiasi dengan indah dan beraneka jenis buah-buahan serta bunga diletakkan di meja sembahyang. Seorang wanita berpengalaman dari ahli keluarga pihak lelaki akan ditugaskan untuk menyiapkan berbagai upacara di bilik pengantin seminggu sebelum majlis perkahwinan. Antara upacara tersebut iaiah menaburkan bunga rampai ditengah tilam baru, memasang langsir  dan menyusun bantal-bantal yang baru. Manakala di empat penjuru kati diletakkan ‘angpau’ dan perkakas baru didalam bilik tersebut juga diletakkan ‘angpau’. Sepasang lampu minyak tanah dipasang dan perlu dipastikan lampu tersebut tidak dipadam sehingga 12 hari selepas perkahwinan. Bilik ini sentiasa dikunci dan hanya dibuka untuk memastikan lampu tersebut tidak terpadam.


katil pengantin bagi Baba dan Nyonya

Pada hari perkahwinan, pengantin akan menaiki kereta sambil diiringi oleh pengapit ke rumah pengantin perempuan.Tibanya di rumah pengantin perempuan, pintu kereta akan dibuka oleh pemuda,biasanya adik lelaki pengantin perempuan. Dia akan diberi ‘angpau’ oleh pengantin lelaki.Selain jamuan ringan, kedua pengantin akan bersembahyang dah dianggap sebagai suami isteri oleh ibu bapa pihak perempuan.

         Selepas itu, mereka akan pergi ke rumah pengantin lelaki. Acara di rumah pengantin lelaki diadakan secara besar-besaran. Ia dikenali sebagai upacara  ‘sembahyang samkai’. Adatnya pula dikenali sebagai  ‘Perkahwinan Tambo Seroni’ kerana tiupan serunai dapat didengari sepanjang majlis perkahwinan tersebut. Di rumah pengantin lelaki juga mereka akan bersembahnyang. Selesai sembahyang, kedua-dua pengantin memohon maaf serta meminta halalkan segala makan minum mereka daripada kedua belah ibu bapa mereka.
Selepas itu disusuli pula oleh ‘adat sojah’ . Dalam adat ini,kedua pengantin akan menjamu teh kepada setiap ahli keluarga yang lebih tua daripada mereka. Jika mengikut tradisi, kedua-dua pengantin terpaksa melutut ketika memberi secawan teh kepada orang yang disojah. Pengantin lelaki akan dibanti oleh ‘pak-chi-nek’ sementara pengantin perempuan pula oleh ‘ sang-ke-um’ . tugas mereka adalah membantu kedua-dua pengantin ketika melutut dan membangun. Ini adalah kerana setiap kali mereka melutut,pakaian haruslah sentiasa kemas dan rapi. Walau bagaimanapun pada masa ini, kedua-dua pengantin tidak lagi dipaksa melutut ketiak ‘ adat sojah’. Mereka dibenarkan berdiri ketika melakukanya. Biasanya orang-orang yang ‘disojah’ memberi ‘angpau’ kepada mereka. Ada juga yang memberi barang kemas seperti rantai atau cincin.
        
       Pada keesokan harinya, pengantin perempuan akan menuang teh kepada kedua-dua menantunya sebagai satu tanda bahawa dia sekarang adalah salah satu ahli keluarga tersebut dan akan mematuhi semua peraturan yang ditetapkan oleh keluarga itu. Seterusnya, adat ’12 hari’ akan diadakan 12 hari selepas perkahwinan. Kedua-dua pengantin akan ke rumah pengantin perempuan untuk mengucapkan terima kasih kepada ibu bapa pihak perempuan kerana merestui perkahwinan mereka. Satu jamuan diadakan di rumah pengantin perempuan. Pengantin akan dijamu dengan nasi lemak bersama-sama 12 jenis sambal. Pengantin lelaki berjanji kepada mentuanya bahawa dia akan menjaga isterinya dengan baik. Pengantin lelaki akan memberi ‘angpau’ kepada mentuanya sebagai tanda bahawa anak perempuan mereka kini adalah hak miliknya. Sebagai balasan, ibu bapa pengantin perempuan akan memberi 2 ekor ayam yang berbulu merah ( seekor ayam jantan dan seekor ayam betina) , 2 batang tebu dan 2 batang lilin untuk dibawa pulang bersama-sama. Kesemua barang ini akan dibalut dengan kertas merah. Warna merah memainkan peranan yang penting kerana dipercayai membawa tuah, kebahagian dan keharmonian.

bakul Siah yang digunakan untuk mengisi barangan (makanan) kepada pengantin.

         Kedua-dua ekor ayam tadi dibawa balik oleh pihak pengantin lelaki dan dilepaskan di bawah katil pengantin. Kononnya, jika ayam jantan yang keluar dahulu dari bawha katil tersebut, maka anak lelaki akan diperolehi dan begitulah sebaliknya. Kedua-dua ekor ayam tersebut tidak boleh disembelih atau dijual. Ianya hendaklah dipelihara selagi ada hayatnya. Jika semakin banyak ayam tersebut membiak,maka semakin ramai anak yang akan diperolehi. Ayam tersebut dipercayai membawa kemakmuran dah kebahagian kepada keturunan dan kedua-dua pengantin tersebut.
           Kesimpulannya, kita dapat lihat adat perkahwinan Baba dan Nyonya ini memakan masa yang agak panjang dan penuh dengan adat istiadat. Walaubagaimanapun, zaman sekarang kaum Baba dan Nyonya banyak meringkaskan adat perkahwinan mereka tetapi masih ada yang masih mengamalkannya kerana mereka tidak mahu adat ini pupus ditelan dek zaman. Keunikan adat Baba dan Nyonya ini sangat menarik kerana gabungan bagi adat yang terdapat pada kaum Melayu dan juga kaum Cina.Apa yang harus kita pegang ialah biarpun adat yang berlainan kita haruslah saling menyokong dan menghormati antara satu sama lain.