Wednesday 20 March 2013

Perjalanan aku bergelar Pelajar UUM


  ‘Siti Nur Izzati bt Sobri’ itulah nama diberi buatku oleh ibu saudaraku. ‘Izzati’ yang bermaksud kejayaan dan kesejahteraan.Mudah-mudahan ianya menjadi nyata.Aku merupakan anak kedua daripada 3 beradik. Aku mempunyai seorang kakak dan seorang adik perempuan. Kehadiran 3 orang puteri ini melengkapkan keluarga Sobri Bin Ahmad dan Ruhana bt Man.Perjalanan hidupku semasa zaman kanak-kanak tidak akan aku lupakan sampai bila-bila.Terlalu indah dan penuh sarat dengan kenangan manis.Impian demi impian aku tanamkan dari kecil. 


Setiap apa yang aku inginkan aku akan catatkan di dalam diariku. Sejak bersekolah rendah lagi aku mempunyai diari kerana aku suka menulis apa yang aku rasa.Diari juga menjadi ‘semangat’ aku untuk aku terus mengubah kehidupan aku ke arah yang lebih baik. Adanya diari membuatkan kita dapat melihat jatuh bangun kehidupan kita dan itu menjadi ‘kekuatan buat aku’ . Semasa aku berumur 12 tahun , sebelum menduduki peperiksaan UPSR , aku sudah mempunyai impian sendiri iaitu ingin memasuki Sekolah Menengah Kebangsaan Jitra apabila tamat UPSR nanti. Sebab utama aku tertarik dengan sekolah itu kerana landskapnya yang cantik dan berada di tengah pekan Jitra.

     Emak sentiasa berpesan kepada aku. ‘ kalau nak masuk sekolah itu, belajar rajin-rajin’ . aku memang tekad untuk belajar bersungguh-sungguh. SMKJ itu impian aku. Alhamdulillah, berkat doa mak ayah aku mendapat keputusan yang agak baik iaitu 4A1B. Dan apa yang paling mengembirakan aku, impian aku selama ini akhirnya tercapai. Aku berjaya ditempatkan di Sekolah Menengah Kebangsaan Jitra. Pada tahun 2003 bermula la perjalanan aku di sekolah yang serba indah itu. Aku tinggal di asrama kerana jarak dengan rumah agak jauh.Selama 5 tahun, aku tinggal di asrama berbagai-bagai rentak kehidupan aku belajar. Pelbagai benda berlaku yang mematangkan kehidupan aku terutamanya erti persahabatan dan juga berdikari dalam menempuhi kehidupan ini.

Impian pertamaku tercapai.

     Tamat sahaja SPM , aku dalam dilema sama ada hendak meneruskan ke peringkat diploma atau menyambung pelajaran di tingkatan 6. Selepas berbincang dengan keluarga, akhirnya aku mengambil keputusan untuk menyambung pelajaran di tingkatan 6 di sekolah yang sama. Cuma aku tidak lagi tinggal di asrama. Aku berulang-alik dari rumah ke sekolah. Tamat sahaja STPM, aku berjaya mendapat tawaran di Universiti Utara Malaysia dengan jurusan yang aku minati iaitu Pengurusan Perniagaan.Alhamdulillah semuanya dipermudahkan Allah.Ini juga berkat siang dan malam daripada kedua ibu bapaku.

    Tetapi, ada juga yang tidak menyenangi kejayaanku ini.Seminggu sebelum aku mendaftar masuk ke UUM , nenekku ada membuat kenduri kesyukuran buatku.Pada hari kenduri tersebut, aku ada berbual dengan seorang sanak saudaraku.Apabila dia tahu aku mendapat tawaran di UUM dengan jurusan perniagaan dia terus menghentam aku. Katanya jurusan ini tiada masa depan dan susah untuk mencari pekerjaan kelak.Dia lebih galakkan aku untuk menyambung pelajaran di dalam pendidikan.Telah aku katakan pada dia aku tidak berminat untuk menjadi seorang pendidik dan aku yakin aku tidak boleh menjadi pendidik yang terbaik.Tetapi, alasan aku langsung tidak diendahkannya. Dia berkata ini bukan soal minat atau tidak tetapi soal masa depan.Aku hanya terdiam.Bayangkan hari tersebut merupakan hari kegembiraan buatku tetapi dicemari dengan kejadian tersebut. Emak tidak putus memberi semangat kepadaku. Kata emak ‘ Teruskanlah cita-cita adik. Ingat rezeki Allah ini luas’ . Dengan kata-kata emak itu terus membuatkanku bersemangat untuk meneruskan permulaan perjuanganku ini.

pintu gerbang UUM menantiku.
Tanggal 4 Julai 2010 merupakan tarikh keramat buatku.Aku mendaftar sebagai seorang pelajar UUM. Tiba sahaja di pintu gerbang UUM yang tersergam indah itu menimbulkan pelbagai perasaan padaku.Walaupun sebelum itu aku kerap menjejak kaki ke UUM atas program sekolah tetapi perasaan ketika itu sangat berlainan.Sedih,gembira, sebak, bangga semuanya bercampur baur.Apa yang aku boleh katakan ‘ Alhamdulillah impian aku sudah tercapai’ .Aku tiba agak awal pada hari tersebut kerana ayah takut bersesak dengan orang ramai nanti.

Dewan Penginapan Pelajar Sime Darby. tempat aku mendaftar dan diami hingga kini.

     Pada hari pertama pendaftaran aku telah belajar sesuatu iaitu bersangka baik pada orang lain.Kejadiannya berlaku ketika aku beratur untuk pendaftaran, ada seorang pelajar di depan aku.Dia berkata kepada aku ‘risau fikir siapa roomate nanti, jangan dapat orang kedah sudah la nanti mesti selalu balik’ . Aku pula berkata kepada dia ‘saya pun risau juga, harap-harap tidak dapat orang kelantan’ . Ketika itu, pada pemikiran aku orang berasal dari kelantan susah untuk bergaul dengan orang bukan dari kelantan,mereka lebih suka berkawan dengan rakan yang berasal daripada kelantan juga. Ceteknya pemikiran aku ketika itu.

       Perancangan Allah itu terbaik buat umat-Nya. Sebaik sahaja aku melangkah masuk ke dalam bilikku, aku terkejut kerana teman sebilikku sememangnya berasal daripada kelantan.Aku mula sedih tapi mak ayah tetap bagi semangat padaku. Secara kebetulannya pula, pelajar yang berbual dengan aku tadi turut mendapat teman sebilik berasal daripada Kedah.Tetapi, pandangan kami meleset sama sekali. Alhamdulillah, aku dan teman sebilikku mempunyai hubungan yang baik. Malah, dari semester pertama hingga kini semester akhir kami masih tinggal sebilik. Selain itu, disini aku turut mempunyai kawan rapat yang berasal daripada Kelantan. Kejadian ini benar-benar mengajar aku supaya tidak bersangka buruk pada orang lain.Tidak semua apa yang kita sangkakan itu betul dan kita harus luaskan pemikiran. Bak kata pepatah ‘Jangan kerana nila setitik, habis rosak susu sebelanga’ .

Akhirnya minat dan cita-citaku tercapai.

      Urusan pendaftaran aku pada hari tersebut semuanya berjalan dengan lancar.Apa yang aku masih ingat hingga kini ialah raut muka mak dan ayah pada hari tersebut. Semuanya sangat gembira dan teruja akhirnya aku dapat memasuki universiti.Buat pertama kali juga aku melihat ayah menitiskan air mata ketika hendak pulang meninggalkan aku.segala pesanan dititipkan buat aku sebelum mereka bertolak balik.Pada saat itu, aku sedar terlalu besar tanggungjawab yang aku tanggung sekarang.Terlalu besar harapan mak ayah untuk aku. InsyaAllah mudah-mudahan aku akan dapat membanggakan kedua buah hatiku itu.

semester pertama di UUM. Syukur Ya Allah .

     Kini, pejam celik pejam celik hampir tiga tahun aku di bumi Sintok ini.InsyaAllah jika tiada aral melintang Jun nanti aku akan tamat pengajianku di sini.UUM mengajar aku banyak erti kehidupan, jatuh bangun demi kejayaan. Bagi aku, apapun tanggapan orang terhadap UUM, aku tetap berbangga menjadi salah seorang pelajar di sini.Sekarang, di semester akhir rutinku agak sibuk tetapi akan aku hargai setiap momen-momen terakhir aku di sini. Yang paling penting saat bersama kawan-kawan seperjuangan aku di sini.Aku pasti aku akan merindui zaman belajar aku di sini dan merindui suasana ‘sibuk’ bergelar pelajar.Ini hadiah yang terbesar aku dapat berikan buat mak dan ayah atas segala pengorbanan mereka selama ini.InsyaAllah sekiranya diberikan peluang aku akan menyambung pelajaran lagi selepas ini. Jadi impian aku seterusnya ialah untuk menyambung pelajar untuk peringkat sarjana pula. Doakan aku yer.

UUM yang tersangat indah !

4 comments: